Peranti Komputer

Fantech GP13 Gaming Controller – Ulasan / Review

Kebiasaannya penggunaan papan kekunci dan tetikus menjadi pilihan utama ketika bergaming. Namun begitu, penggunaan kontroler juga memberikan satu alternatif yang baik buat gamer. Paling best apabila anda boleh bermain game dengan tenang tampa memikirkan postur duduk anda di depan monitor PC.

Tambahan pula, terdapat game yang memang khususnya lebih baik jikalau dimainkan dengan menggunakan kontroler. Game yang berunsur perlumbaan kebiasaannya dimainkan dengan lebih baik apabila anda menggunakan kontroler jika dibandingkan dengan papan kekunci dan tetikus.

First Impression & Fungsi

Fantech Shooter II GP13 menggunakan susun atur Xbox kontroler. Susun atur kedudukan butang ABXY dan tombol analog yang menyerupai kontroler Xbox, membolehkan anda untuk menyesuaikan posisi jari anda dengan cepat. Dengan berat 177 gram, Fantech Shooter II GP13 ini sangan ringan untuk dipegang, dan menjamin keselesaan untuk tempoh penggunaan yang panjang. Fungsi getaran juga dilengkapkan pada kontroler ini.

Butang ABXY, serta butang-butang yang lain, agak selesa apabila ditekan. Pemicu L1,L2,R1,R2 juga lebih senyap ketika ditekan. Pada pendapat admin, kontroler yang kurang memiliki bunyi klik memberikan keselesaan kepada gamer. Namun begitu, kedua-dua tombol analog terasa longgar apabila ditolak menggunakan ibu jari, jikalau dibandingkan dengan kontroler yang lain.

Selain itu, fungsi Turbo juga disertakan pada kontroler Fantech Shooter II GP13. Turbo adalah satu ciri-ciri yang membolehkan hanya satu butang ditekan untuk melakukan satu tindakan yang berulang. Bagi admin, ini adalah satu fungsi yang menarik. Dalam game FPS, anda tidak perlu menekan butang banyak kali semata-mata untuk menembak menggunakan submachine gun (SMG), cukuplah hanya sekadar mengaktifkan penggunaan fungsi Turbo ini.

Connection / Ketersambungan

Controller Fantech Shooter II GP13 ini hanya menggunakan USB 2.0 untuk disambungkan kepada PC/Konsol. Oleh itu, kontroler ini tidak menyokong sambungan tampa wayar seperti Bluetooth. Jarak anda dengan monitor juga terhad kerana panjang kabel USB hanyalah 1.8 meter. Kabel USB pula terpasang pada kontroler ini. Oleh itu, anda tidak dapat menanggalkan kabel USB pada kontroler ini. Admin berpendapat, ketiadaan fungsi kabel yang boleh dicabut daripada kontroler ini, menjadikan ia kurang mudah alih. Namun begitu, ini membolehkan ketersambungan kontroler kepada PC lebih mantap.

Untuk menguji Input Lag (ketinggalan input), admin menggunakan XInput Test dengan menggunakan 1000 Samples. Berikut adalah tangkapan skrin, hasil ujian ini. Ujian ini dilakukan sebanyak lima kali, dan memberikan keputusan yang hampir sama.

Ready! Waiting for 1000 Samples (Move Left Stick)
Duration 8.00 ms
Duration 7.43 ms
Duration 7.63 ms
.
.
.
Duration 7.42 ms
Duration 7.55 ms

Outliers: 82 / 1000
Top 10 Outliers: 99.50 ms, 95.71 ms, 79.92 ms, 79.64 ms, 71.84 ms, 71.70 ms, 71.68 ms, 71.66 ms, 71.65 ms, 71.58 ms

Min 3.147200 ms - Max 99.495800 ms - Jitter 10.686151 ms
Average 16.316197 ms - Polling Rate 61.288791 Hz

Write Report To File? J/[N]:

Data menunjukkan bahawa Input Lag adalah sebanyak 16.316 ms dengan polling rate 61.28 Hz. Admin berpendapat Fantech Shooter II GP13 Gaming Controller memiliki input lag yang agak tinggi. Namun begitu, input lag ini masih lagi boleh diterima pakai! Umumnya, lebih rendah input lag, lebih baik. Walau bagaimanapun, input lag antara 18 ms hingga 2 ms masih berada dalam julat yang diterima.

Xinput Circularity Test

Admin juga menguji pekeliling (circularity) Xinput tombol analog milik Fantech Shooter II GP13 Gaming. Dalam ujian ini, admin memutarkan kedua-dua tombol analog joystick Fantech Shooter II GP13 Gaming ini mengikut arah jam dan lawan arah jam sebanyak lima kali. Ujian ini dilakukan sebanyak lima kali, dan menunjukan keputusan yang serupa.

Fantech Shooter II GP13 circularity test

Bagi tombol analog joystick bahagian kiri, data menunjukan purata ralat (average error) adalah sebanyak 18.0%. Manakala, purata ralat untuk tombol analog joystick bahagian kanan adalah sebanyak 18.2%. Kedua-dua purata ralat ini agak tinggi, sejurus itu menunjukkan bahawa kurangnya pekeliling tombol analog pada Fantech Shooter II GP13 Gaming Controller.

Kewujudan seakan-akan segi empat dan bukannya bulatan, juga secara visual menunjukkan kurangnya pekeliling tombol analog ini. Harus diingatkan bahawa, lebih kecil nilai purata ralat pekeliling, lebih baik. Kekurangan pekeliling ini boleh mengganggu prestasi mahupun pengalaman gaming anda. Hal ini demikian kerana tombol analog mempengaruhi proses kawalan sesuatu objek dalam game yang pada kebiasaannya adalah karekter milik anda.

Harga Pasaran

Menurut laman sesawang Fantech Malaysia, kontroler ini dijual pada harga mampu milik, iaitu RM69.00. Fantech Shooter II GP13 Gaming Controller memberikan peluang kepada gamer untuk mendapatkan satu kontroler pada harga murah. Anda boleh mendapatkannya dengan harga lebih murah di Shopee mahupun Lazada.

sumber: Shopee

Verdict / Keputusan

Harga murah dan menjamin ianya melakukan tugas-tugas kontroler seperti yang diduga, Fantech Shooter II GP13 Gaming Controller sesuai untuk dimiliki buat mereka yang suka bergaming secara santai. Boleh diguna untuk main game yang menyokong fungsi kontroler pada Steam/ Epic Games atau Activision Blizzard, Fantech Shooter II GP13 menawarkan kontroler alternatif yang murah, jika dibandingkan dengan Xbox kontroler yang lebih mahal.

Justeru itu, sekiranya anda ingin menggunakan kontroler ini untuk game yang kompetitif seperti PvP, anda haruslah berfikir dua kali, kerana ia memiliki input lag yang agak tinggi. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya tanya selera.

Anda juga mungkin menyukai: GameSir T4pro Gaming Controller – Ulasan / Review

One thought on “Fantech GP13 Gaming Controller – Ulasan / Review

Comments are closed.

error

Mohon share ye! :)

RSS
WhatsApp