Ulasan / Review

Unavailable! – 4 game yang tidak tersedia untuk gamer di Malaysia

Sering kali kita melihat banyak drama atau filem luar negara yang ditapis mahupun diharamkan untuk ditayang di Malaysia. Baru-baru ini, filem animasi yang bertajuk Lighyear milik Disney-Pixar tidak dibenarkan untuk ditayang di layar perak, berikutan wujudnya satu babak ciuman sejenis.

Selain filem dan drama, terdapat juga game yang terhad untuk dimainkan di Malaysia. Terdapat pelbagai sebab dan faktor yang menghalang ketersediaan beberapa game di negara kita, sama ada dari segi teknikal mahupun sekatan yang dilakukan oleh kerajaan. Berikut adalah senarai game yang tidak tersedia untuk para gamer Malaysia.

1. Multiversus

Multiversus adalah game yang baru diterbitkan oleh WarnerBros pada Ogos 2022. Ia adalah free-to-play game yang menyerupai Super Smash Bros, di mana pemain bersaing secara berperingkat. Pemain perlulah menolak pihak lawan keluar daripada arena. Ini bermaksud, semakan jauh karakter ditolak, semakin banyak kecederaan diterima. Banyak watak yang lazim anda jumpa di kaca tv, ditampilkan di game ini. Watak seperti Batman, Tom & Jerry, dan Velma (Scooby Doo) adalah antara karakter yang popular dan boleh dimainkan dalam Multiversus.

Multiversus sudah pun tersedia di beberapa negara asing dengan memiliki jumlah pemain melebihi 10 juta dalam tempoh yang singkat. Namun begitu, ia masih terhad di beberapa negara termasuk Malaysia. Menurut laporan, pemaju Multiverus tidak memiliki tenaga kerja dan jaringan pelayan yang mencukupi untuk menampung jumlah pemain yang kian meningkat.

2. Lost Ark

Lost Ark adalah MMORPG terbitan sebuah syarikat Korea Selatan iaitu Smilegate. Diterbitkan pada Disember 2019 dan tersedia untuk Amerika Utara dan Kesatuan Eropah pada Februari 2022, Lost Ark adalah antara game yang paling popular di Steam. Game yang bersifat pertarungan, Lost Ark menjamin kepelbagaian kandungan buat gamer.

Lost Ark hanya menembusi pasaran Amerika dan Eropah selepas Amazon Game menerbitkan game tersebut. Di Malaysia, Lost Ark masih lagi belum tersedia. Menurut Twitter rasmi milik Lost Ark, mereka belum ada rancangan untuk menambah jaring pelayan khas untuk kawasan OCE (Australia, New Zealand dan kepulauan Pasifik) dan SEA (Asia Tenggara).

3. Tell Me Why

Tell Me Why adalah sebuah game pengembaraan yang berepisod.  Dimajukan oleh Dontnod Entertainment dan diterbitkan oleh Xbox Game Studios, game ini mengisahkan sepasang kembar yang mampu untuk berkomunikasi secara telepati. Selepas terpisah selama sepuluh tahun, pasangan kembar ini kembali ke kampung halaman di pedalaman Alaska untuk menyiasat kematian ibu mereka. Game ini banyak mengetengahkan isu-isu berkaitan dengan LGBT khususnya transeksual.

Tell me why cutscene
Tangkapan skrin babak game Tell Me Why

Tell Me Why tidak tersedia di Malaysia kerana ia dilihat sebagai game yang mempromosikan LGBT buat golongan remaja. Bukan sahaja Malaysia bahkan Turki, Indonesia dan beberapa negara Timur Tengah juga mengharamkan game tersebut di negara mereka.

4. Fight of Gods

Fight of Gods adalah satu game yang berunsur pertarungan yang dimajukan oleh sebuah syarikat gaming Taiwan iaitu, Digital Crafter. Game yang menampilkan pelbagai tokoh agama dan mitos seperti Buddha dan Zeus dalam pertarungan. Memiliki kualiti grafik yang agak rendah, dan mekanik permainan yang kurang menarik, Fight of Gods bukanlah satu game yang dikira sebagai top tier.

Fight of Gods
Game Fight of Gods

Pada 2017, game ini telah menyebabkan gamer Malaysia hilang akses ke Steam buat seketika. Menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Star, Fight of Gods boleh mengganggu keharmonian dan kesatuan masyarakat berbilang kaum Malaysia. Menurut Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, yang pada ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Malaysia menghormati semua sensitiviti budaya dan agama, dan sebarang jualan dan pengedaran game yang dilihat tidak menghormati atau tidak menjaga sensitiviti masyarakat adalah dilarang.

Tidak terhad kepada Malaysia sahaja, negara-negara lain juga melakukan tapisan serta sekatan kepada game yang dilihat mengancam ketenteraman mahupun kestabilan sesebuah negara. Selain disekat oleh sesebuah kerajaan, terdapat juga game yang dihadkan akses kerana isu teknikal milik penerbit itu sendiri. Admin berpendapat, ini bukanlah isu yang besar, namun kita boleh ambilnya sebagai ikhtiar untuk memahami sesebuah isu dunia gaming.

error

Mohon share ye! :)

RSS
WhatsApp